Serba Dinamik dapat kontrak RM7.71 bilion di Abu Dhabi

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik International Ltd (SDIL), unit milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd, memperoleh kontrak pembinaan bernilai RM7.71 bilion di Abu Dhabi.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Serba Dinamik berkata pada 12 April 2020, SDIL telah menerima surat lantikan daripada Block 7 Investments LLC untuk menjalankan kerja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan hab inovasi, kampus akademik, infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan kemudahan yang berkaitan di Abu Dhabi.

“Projek ini akan merangkumi tiga bidang kepentingan, iaitu hab inovasi yang termasuk pembangunan pejabat, restoran, pusat pameran dan pusat IT.

“Ia turut merangkumi sebuah kampus akademik dan penginapan yang termasuk pangsapuri dan hotel, di kawasan seluas 455,000 meter persegi,” katanya.

Menurut Serba Dinamik, projek itu adalah sebahagian daripada inisiatif Block 7 untuk mewujudkan inkubator global bagi kemajuan penginovasi buat sektor teknologi, hartanah, kewangan dan tenaga serta menjadikannya sebagai mercu tanda baharu Abu Dhabi.

Katanya, bidang kerja meliputi tetapi tidak terhad kepada reka bentuk, jurutera, perolehan, penyeliaan, pengurusan, pembekalan, pengangkutan, pembinaan, pengoperasian dan memulihkan sebarang kelemahan berkaitan projek terbabit.

Serba Dinamik berkata, SDIL dan Block 7 bersetuju bahawa kerja-kerja akan siap dalam tempoh 1,460 hari dari tarikh mula 14 Mei 2020.

“Pemberian kontrak ini tidak akan memberi sebarang kesan kepada modal saham terbitan dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat.

“Ia dijangka menyumbang secara positif kepada aset bersih, pendapatan disatukan dan pendapatan sesaham syarikat untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020,” katanya.

-BERNAMA


Source: Berita Harian Online

Issued Date: 15th Apr 2020

Link: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2020/04/677590/serba-dinamik-dapat-kontrak-rm771-bilion-di-abu-dhabi