Serba Dinamik dapat projek RM1.47 bilion di UAE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik International Ltd (SDIL), anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Holdings Bhd menerima surat anugerah daripada Future Digital Data Systems LLC (FDDS) bagi melaksanakan kontrak pemerolehan, pembinaan, kejuruteraan, penyiapan sebuah pusat data dan kemudahan berkaitan seperti infrastruktur serta landskap di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Projek bernilai AS$350 juta (kira-kira RM1.47 bilion) itu dijangka bermula pada 1 September 2020 di Mussafah, Abu Dhabi secara berfasa dan menjadi pelan induk untuk pusat data teknologi maklumat (IT) dengan kapasiti 20MW.

“Pusat data ini boleh mengadakan sistem misi kritikal dan menyediakan perkhidmatan lokasi bersama, kesinambungan perniagaan serta kemudahan khidmat terurus kepada organisasi tempatan dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif FDDS untuk membangunkan satu siri pusat data di seluruh wilayah Asia Barat dan Afrika Utara (MENA) yang akan menyokong aktivitinya di Abu Dhabi serta di seluruh Majlis Perbadanan Teluk (GCC) dengan menawarkan penyelesaian teknologi awan, kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, Internet Pelbagai Perkara (IoT) dan Analitis Data Besar.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pengarah Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd Karim Abdullah berkata projek itu mencerminkan kemampuan kumpulan untuk terus memenangi tender walaupun berada dalam persekitaran ketidaktentuan berikutan kegawatan ekonomi dan pandemik COVID-19.

Kumpulan, katanya yakin mampu mencatatkan satu lagi kejayaan bagi tahun kewangan berakhir 2020 memandangkan kontrak ini bukan sahaja akan meningkatkan lagi aliran utamanya tetapi juga menyumbang secara signifikan kepada segmen IT.

-BERNAMA


Source: Berita Harian Online

Issued Date: 6th Ogos 2020

Link: https://themalaysianreserve.com/2021/01/20/serba-dinamiks-11-new-contracts-to-boost-earnings/