Serba Dinamik raih kontrak AS$114.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Berhad (SDHB) mengumumkan beberapa anak syarikat telah berjaya menandatangani kontrak bernilai AS$114.3 juta (RM465.49 juta) bagi projek melibatkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC); operasi dan penyelenggaraan (O&M) dan teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT).

Menurut SDHB dalam makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh Serba Dinamik Group Berhad (SDGB) iaitu Serba Dinamik International Ltd. (SDIL) telah berjaya memperoleh kontrak daripada PT Green Energy Specialist One di Aceh, Indonesia dalam segmen EPCC dan Najmat Al Maisan Technical Services LLC dalam segmen O&M di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Katanya, projek di Indonesia itu bermula sejak 1 September lalu sehingga 31 Ogos 2021 manakala projek di UAE telah bermula sejak 30 November lalu selama tiga tahun hingga 29 November 2023.

Syarikat itu berkata, PT Serba Dinamik Indonesia (PT SDI) iaitu yang dimiliki 75 peratus oleh SDIL pula memperoleh satu kontrak dalam bidang O&M daripada PT Pertamina Hulu Energi Jambi Merang selama dua tahun sehingga 20 September 2022.

PT SDI juga berjaya memperoleh satu lagi kontrak daripada PT Pertamina Hulu Kalimantan Timur sejak 9 November 2020 hingga 8 Disember 2021 dalam bidang ICT.

“Sebuah anak syarikat Serba Dinamik IT Solutions Sdn. Bhd. (SDIT) iaitu SDIT International Ltd. (SDITIL) pula berjaya meraih kontrak daripada Komconsult Sdn. Bhd. sehingga Disember 2022 dalam bidang ICT.

“Projek tersebut adalah untuk pelaksanaan penyelesaian inovatif bagi pembangunan telekomunikasi dan infrastruktur ICT, aplikasi dan perkhidmatan untuk Kementerian Pos, Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Republik Guinea,” katanya dalam makluman tersebut.

Pada masa yang sama, sebuah lagi anak syarikat SDGB iaitu Serba Dinamik Sdn. Bhd. turut berjaya memperoleh empat kontrak O&M di Malaysia.

Walau bagaimanapun, tiada nilai spesifik dinyatakan bagi empat projek yang berjaya diraih itu kerana ia adalah berdasarkan asas ‘call-out’.

“Pesanan kerja hanya akan diberikan mengikut budi bicara pelanggan berdasarkan kepada jadual aktiviti dan kadar sepanjang tempoh kontrak ditandatangani,” katanya. – UTUSAN


Source: Utusan Malaysia

Issued Date: 3th Dis 2020, Tuesday

Link: https://www.utusan.com.my/ekonomi/2020/12/serba-dinamik-raih-kontrak-as114-3-juta/