Serba Dinamik dapat kontrak di India, Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email

KUALA LUMPUR: Serba Dinamik Holdings Bhd, penyedia perkhidmatan kejuruteraan bersepadu global, memperoleh dua projek operasi dan penyelenggaraan (O&M) dan tiga projek teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT) di India dan Indonesia melalui anak syarikatnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Serba Dinamik berkata kontrak bernilai RM408.8 juta itu diperoleh oleh unit milik penuhnya, SDIT International Ltd dan Serba Dinamik Sdn Bhd; anak syarikat 75 peratus miliknya, PT Serba Dinamik Indonesia dan syarikat bersekutu 49 peratus miliknya, Serba2C India Pvt Ltd.

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah, berkata kontrak itu menandakan keupayaan syarikat yang kukuh untuk mendapatkan lebih banyak projek dalam perniagaan ICT dan bukan minyak dan gas.

“Projek ICT di India menunjukkan usaha kami yang bersungguh-sungguh untuk menguasai transformasi digital di samping meningkatkan dan mengekalkan kecekapan teras dalam projek O&M di Malaysia dan Indonesia.

“Projek ICT ini akan meningkatkan kemunculan pasaran kami di India, selain daripada projek Penyelesaian Pintar untuk pembangunan Bandar Pintar dan Selamat,” katanya.

-BERNAMA


Source: Berita Harian Online

Issued Date: 9th Mar 2021

Link: https://www.bharian.com.my/bisnes/korporat/2021/03/794332/serba-dinamik-dapat-kontrak-di-india-indonesia